Aku bertungku di atas katil. Adik Hamdi lena di sisi selepas menyusu. Kakak makan kuih lapis yang Atuk beli di pekan. Tak habis lagi, tapi dia dah ikut Atuk dan Busu Akim ke dapur pula.
Tiba2 Kakak datang ke sisi aku dan berkata, “Ibu, darah.”sambil tunjuk kedua2 tangannya. Terkejut, tapi aku cuba bawa bertenang. Aku belek tangan Kakak. Nampak comot. Memang betul ada sesuatu berwarna merah yang melumuri. Banyak. Betul ke darah atau pewarna kuih?
Aku pimpin dia ke dapur, sambil beritahu Emak. Aku basuh tangannya. Memang betul darah. Jelas kesan luka di jari ibu kanannya. Satu di sisi luar jari, seperti dihiris objek tajam, luka di bawah kulit. Satu lagi di sisi sebelah dalam. Kulitnya tanggal, meninggalkan luka yang agak dalam, yang tidak mudah untuk dihentikan pendarahannya. “Siapa buat Kakak?” tanyaku. “Kucing tu.” Katanya sambil menunjuk pada kucing hitam yang sedang enak bergulung di bawah buaian.
Aku bawa Kakak ke depan semula, minta dia baring di atas riba. Aku sapu minyak gamat pada lukanya dan tutup dengan handyplast. Adik menangis minta susu. Aku ajak Kakak baring bersama. Tidak sampai seminit, dia terus terlena.
Di rumah kampung ni memang ada 3 ekor kucing; 1 hitam dan 2 kelabu. Kata Emak, yang hitam garang sikit, lebih agresif banding yang lain. Sejak balik, Mawaddah memang suka main dengan kucing2 ni. Tapi tidak berapa kena caranya. Dia kejar kucing2 tu, tangkap, tarik ekor dan angkat ke sana sini. Tapi masalahnya dia bukan angkat badan, tapi angkat bulu kucing tu. Memanglah sakit. Puas tegur dan marah, dia buat lagi. Kucing2 tu pun macam sabar je. Biar je diri diperlakukan sebegitu kalau dah tertangkap.
Tapi mungkin pagi ni Kakak tidak bernasib baik lagi. Ganggu kucing hitam yang sedang berehat meninggalkan tanda berdarah di jari. Sedikit pun dia tidak merengek, apatah lagi menangis. Kakak kuat! Cuma dia kelihatan sedikit keliru. Mungkin dia tak faham apa yang dah berlaku. Mungkin juga kuku kucing tu sangat tajam sampai tak rasa sakit masa dicakar.
Tak siapa nampak apa yang sebenarnya berlaku. Aku tak ada dengar kucing mengiau marah walau tak berapa jauh pun duduknya kucing tu dengan katil tempat aku bertungku. Hanya Kakak yang tahu dan juga Allah pastinya. Apa pun, aku rasa Kakak belajar sesuatu pagi ni; jangan kacau kucing berehat. Tapi tak taulah dia serik ke tak. Kita tengoklah bila dia bangun tidur nanti. Hehe.
No comments:
Post a Comment